Ibu bapa akan didenda jika benarkan anak bawah umur tunggang motosikal

Spread the love

MARUDI, 27 Ogos: Ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur menunggang motosikal akan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000.

Selain denda, mereka juga boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Demikian kata Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat, berhubung operasi ‘Op Pelbagai” yang dijalankan di sekitar pekan ini pada petang semalam (Jumaat).

“Seramai 11 individu berumur antara 14 hingga 18 tahun ditahan manakala sembilan keping saman telah dikeluarkan dalam operasi tersebut, yang dijalankan mulai jam 3.00 hingga 4.30 petang semalam,” katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Menurut Mohd Ruslan, operasi tersebut dilancarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Tugas Am Balai Polis Marudi.

Kawasan operasi melibatkan beberapa lokasi, termasuk Jalan Stadium Marudi, Jalan Limbang, Jalan Kampung Pemindahan, dan Jalan Lubok Nibong.

Sembilan kesalahan yang dikesan dan dikenakan saman termasuk ekzos bising (dua saman), tiada cermin sisi (dua), tidak pamer pelekat ‘P’ (satu), nombor pendaftaran ‘fancy’ (satu) dan menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah (tiga).

“Mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Mohd Ruslan turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat, terutamanya dalam kegiatan lumba haram atau memandu dalam keadaan melulu atau melakukan apa-apa aksi yang menyebabkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.