Harga produk sawit yang tinggi tingkatkan untung bersih Sarawak Oil Palms kepada RM154.46 juta

Spread the love

KUALA LUMPUR, 27 Ogos : Keuntungan bersih Sarawak Oil Palms Bhd melonjak kepada RM154.46 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM98.32 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi jualan produk sawit.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata hasil meningkat kepada RM1.40 bilion berbanding RM949.05 juta sebelumnya.

“Keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi suku semasa ialah RM209.3 juta berbanding RM146.6 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun lepas. Peningkatan dalam hasil dan keuntungan sebelum cukai disebabkan terutamanya oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi jualan produk sawit,” katanya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2022, Sarawak Oil Palms mencatatkan keuntungan bersih kepada RM349.45 juta berbanding RM177.38 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil yang dicatatkan pula berjumlah RM2.83 bilion berbanding RM1.74 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Sehubungan itu, Sarawak Oil Palms mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak empat sen sesaham, untuk 890.16 juta saham biasa yang berjumlah RM35.61 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata prestasinya akan terus didorong oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang terjejas disebabkan kekurangan tenaga buruh dan pergerakan turun naik harga minyak makan global.

“Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila berlakunya masalah rantaian bekalan ke atas baja dan bahan kimia serta harga bahan api yang akan menjejaskan kos pengeluaran,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kadar pertukaran mata wang asing berbanding ringgit dan kekurangan tenaga buruh yang berterusan akan memberi cabaran kepada kumpulan, katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.