Gerakan Tanah Air sedia bertanding PRU15 – Dr Mahathir

Spread the love

KUALA LUMPUR, 27 Ogos : Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika pilihan raya itu diadakan dalam masa terdekat atau sebaliknya, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata GTA akan memastikan kemenangan jumlah kerusi yang dipertandingkan mencukupi untuk membolehkan gabungan itu menubuhkan kerajaan.

“Kita yakin (PRU15 diadakan) awal ke, lewat ke kita bersedia untuk bertanding. Kita nak bertanding cukup jumlah untuk dirikan kerajaan.

“Kalau kita tak dapat lebih daripada 50 peratus pun kalau kita jadi parti terbesar yang menang, kita boleh usaha untuk mendapat gabungan dengan parti lain supaya kita dapat 50 peratus lebih dan kita boleh jadi kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Nasional 2022 anjuran parti Berjasa di sini hari ini.

Baca lagi > > > Dr Mahathir umum penubuhan Gerakan Tanah Air

Pada 4 Ogos lepas, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, sebuah gabungan yang bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi dan akan meletakkan calon di 120 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia khususnya yang mempunyai majoriti kaum Melayu.

Buat permulaan, GTA disertai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Ditanya adakah PRU15 sesuai diadakan pada tahun ini, bekas perdana menteri itu berpendapat pilihan raya umum itu tidak akan diadakan pada tahun ini kerana menyifatkan kerajaan masih belum bersedia.

“Saya jangka bukan sebelum belanjawan tetapi saya rasa mereka tidak boleh adakan terlalu awal kerana mereka juga tidak bersedia. Jadi parti kerajaan sedang mencari slot yang mereka akan diterima baik oleh rakyat,” katanya.

Mengenai sokongan dari Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata GTA mempunyai penyokong dari kedua-dua negeri itu malah jumlah mereka lebih ramai daripada penyokong di Semenanjung.

“Jadi sokongan daripada Sabah dan Sarawak bagi empat parti yang ada di sini memang kuat, mereka sebahagian daripada parti kita,” katanya sambil menambah parti Warisan bukan sebahagian daripada gabungan itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata GTA akan menampilkan seorang calon bagi setiap kawasan yang akan ditandingi.

“Kita tidak berlawan sesama kita. Semua daripada kita sama ada kita daripada parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan kita semua akan sokong calon GTA. Kalau kita ada empat parti kita berlawan sesama kita, masing-masing sokong parti mereka sendiri, jadi tak dapat kemenangan,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.