Anas Popcorn ‘masuk’ 7-Eleven seluruh Sarawak

Spread the love

KUCHING, 28 Ogos : Selepas tujuh tahun berada di pasaran, Anas Popcorn terus mengorak langkah apabila akan dijual di 89 kedai serbaneka 24 jam, 7 – Eleven.

Pengasasnya, Kawi Li berkata, bertih jagung keluaran syarikat itu dijangka akan berada di cawangan kedai serbaneka itu pada awal bulan depan bagi fasa pertama.

“Setakat ini di Kuching hampir 50 peratus 7-Eleven telah menjual Anas Popcorn,” katanya selepas melancarkan promosi Anas Popcorn berharga 50 sen bagi 200 pembeli pertama di Zainab Family Food Court, Sentosa Parade di sini semalam.

Pengasas Anas Popcorn, Kawi Li berkata produk mereka akan berada di pasaran sepenuhnya seawal bulan depan untuk fasa pertama. Foto: TVS

Menurutnya, Anas Popcorn mengambil masa enam bulan untuk membentangkan kertas cadangan kepada 7-Eleven dalam sesi ‘pitching’ sebelum secara rasmi diberi ‘lampu hijau’.

Mengulas mengenai isu inflasi, Kawi berkata, pihaknya masih mengekalkan harga jualan produk walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah.

“Ini kerana kita berusaha untuk menurunkan kos pengeluaran bagi menjana keuntungan yang secara tidak langsung dapat membantu orang di sekeliling.

“Kalau harga dinaikkan semasa inflasi, mungkin akan memberi cabaran kepada pembeli, oleh itu harga dikekalkan supaya memudahkan pembeli mendapatkan popcorn kita,” katanya.

Anas Popcorn merupakan 100 peratus produk buatan anak tempatan Sarawak yang menampilkan tiga variasi perisa antaranya Salted Egg, Premium Gula Apong dan Classic Caramel.

Selain itu, Anas Popcorn juga akan memperkenalkan perisa baharu iaitu Laksa Sarawak yang akan dipasarkan di 7-Eleven. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.