Zii Jia kandas di pusingan ketiga, Aaron-Wooi Yik tempah slot suku akhir kejohanan dunia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Impian jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mencipta sensasi pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 musnah selepas disingkirkan pemain China, Zhao Jun Peng, pada pusingan ketiga saingan yang berlangsung di Tokyo, semalam.

Turun selaku pilihan kelima kejohanan, Zii Jia, yang dilihat gagal mempamerkan prestasi sebenarnya, tumpas kepada pemain berada di ranking ke-23 dunia itu, 19-21, 21-11, 19-21 dalam pertarungan selama 65 minit di Tokyo Metropolitan Gymnasium.

Mengulas mengenai aksinya, Zii Jia mengakui banyak melakukan kesilapan sehingga menyaksikan pemain China itu berjaya menempah slot ke suku akhir menentang pemain India, HS Prannoy yang menundukkan rakan sepasukannya, Lakshya Sen, 17-21, 21-16, 21-17.

“Saya akan cuba supaya lebih tenang dan menstabilkan lagi prestasi saya untuk kejohanan seterusnya, ” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF)  selepas perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke peringkat seterusnya selepas  mengecewakan pasangan senegara,Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani, 21-17, 21-19.

Pasangan ranking keenam dunia, yang juga pilihan keenam kejohanan itu, sama ada akan bertemu pasangan pilihan ke-10 dari Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae atau pasangan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di suku akhir, esok.

Juara beregu wanita Sukan Komanwel 2022 Birmingham, Pearly Tan-M. Thinaah, terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar pada pusingan ketiga oleh pasangan pilihan kelima kejohanan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 16-21, 16-21.

Nasib sama turut dialami beregu profesional wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang, ditewaskan pilihan ketiga dari  Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan, 13-21, 16-21.

Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat- Shevon Lai melakar kejutan apabila menundukkan gandingan Perancis, yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-16, 21-4.

Soon Huat-Shevon Lai, selaku pilihan ke-11 kejohanan, akan bertemu pasangan Jepun yang juga pilihan ketiga kejohanan, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, selepas mengatasi wakil Thailand, Robin Tabeling-Selena Piek, 21-12, 21-19.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, menampilkan aksi cemerlang apabila menyingkirkan pasangan tuan rumah, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya, 21-12, 21-4, dalam pertarungan selama 41 minit.

Tugas berat menanti pasangan pilihan kelapan kejohanan itu apabila dijadual berentap dengan pilihan utama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, selepas gandingan China itu menewaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, 21-9, 19-21, 21-19.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.