Sarawak komited laksana pembelajaran global untuk lahir modal insan berkualiti

Spread the love

MIRI, 26 Ogos : Sarawak komited ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti dengan menerapkan pembelajaran global tanpa menghilangkan unsur budayanya.

Sehubungan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan agar ibu bapa dan pendidik lebih proaktif dalam membangun dan meningkatkan kemahiran anak-anak.

Katanya, usaha ini mampu direalisasikan menerusi asas penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang kukuh.

“Dalam membentuk modal insan di kalangan anak-anak kecil, mereka harus diajar dan dibimbing dengan pengalaman pembelajaran global tanpa kehilangan unsur Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah di sini, hari ini.

Salah satu persembahan tarian oleh kanak – kanak prasekolah sempena Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah di Miri yang dihadiri oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari di sini hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS).

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr. Hazland Abang Hipni.

Abang Johari berkata, konvensyen berkenaan juga merupakan salah satu kaedah untuk melengkapkan pendidik serta penjaga dengan pengetahuan mengenai penjagaan dan pendidikan awal kanak – kanak (ECCE) sekaligus dapat memenuhi kebolehpasaran semasa.

“Kerajaan Sarawak telah memberikan penekanan yang besar terhadap ECCE kerana ianya merupakan asas untuk pencapaian pendidikan, pembinaan sahsiah dan kemasyarakatan kesejahteraan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.