RM100,000 disalurkan bantu pemain, pegawai Sarawak United FC

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memotong dana hak penyiaran Sarawak United FC sebanyak RM100,000, untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai pasukan itu yang berdepan masalah tunggakan gaji ketika ini.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL keempat 2021-2025 yang dipengerusikan Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan semalam, bagi meringankan beban dipikul pemain dan pegawai Sarawak United.

“Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM),” menurut kenyataan MFL hari ini.

MFL yang memandang serius isu tunggakan gaji melibatkan Sarawak United, mengarahkan pasukan itu untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa hari ini.

Sarawak United turut berdepan kemungkinan tidak dibenarkan bertanding dalam saingan Piala Malaysia sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dalam tempoh diberikan.

Selasa lepas, PFAM mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United.

Dalam kenyataan berasingan, MFL memaklumkan Rapid Rail mengesahkan operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi bagi memenuhi kehadiran kira-kira 80,000 penyokong di Stadium Nasional di Bukit Jalil bagi menyaksikan final Piala FA, 10 Sept ini.

Turut disediakan adalah tren tambahan sejurus tamat perlawanan bagi memberikan keselesaan kepada penyokong dua pasukan finalis, Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pulang ke destinasi masing-masing.

Semua pengguna LRT juga dinasihtkan supaya dapat menggunakan Touch ‘n Go selain membuat urusan tambah nilai terlebih dahulu, sebelum tiba di stesen bagi melicinkan pergerakan.

Rapid Rail turut memberi jaminan mampu memenuhi keperluan semua pengguna walaupun sebuah konsert turut berlangsung pada hari yang sama di Axiata Arena di Bukit Jalil. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.