Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Ogos : Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempunyai satu lagi peluang untuk menamatkan badi terkandas di pusingan separuh akhir, selepas menewaskan pasangan dari Korea Selatan Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun pada Jumaat.

Pertarungan pada set pertama agak sengit, namun gandingan negara itu berjaya mendahului perlawanan pembukaan apabila menang 21-18 dalam acara yang diadakan di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu.

Selepas ketinggalan satu mata pada ‘interval’ set kedua, 10-11, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan pilihan keenam kejohanan itu bangkit bertenaga untuk melakar kemenangan 21-16 ke atas gandingan pilihan ke-10 itu.

Baca lagi > > > Zii Jia kandas di pusingan ketiga, Aaron-Wooi Yik tempah slot suku akhir kejohanan dunia

Bercakap kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan itu, Wooi Yik mengakui hakikat bahawa ketenangan mereka beraksi di gelanggang memainkan peranan penting dalam membantu mereka mengatasi cabaran daripada pihak lawan hari ini.

“Kunci kepada kemenangan ini ialah kemampuan bermain dengan tenang dan saya melihat kami menghasilkan beberapa pukulan berkualiti tinggi yang semestinya memberi tekanan kepada pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, Aaron berharap dapat mengekalkan momentum kerana mereka berhasrat untuk menamatkan badi sering terkandas di peringkat separuh akhir agar dapat mara ke perlawanan akhir pada Ahad ini.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu akan menentang pasangan pilihan ketujuh, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India yang mengecewakan juara bertahan Takuro Hoki-Yiugo Kobayashi dari Jepun dengan 24-22, 15-21, 21-14.

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik gagal melepasi pusingan separuh akhir sebanyak enam kali tahun ini termasuk ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini selepas tumpas kepada gandingan England Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 17-21, 4-21.

Dalam pada itu, dua beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan turut beraksi dalam satu lagi saingan suku akhir, lewat hari ini.

Soon Huat-Shevon akan berdepan pilihan ketiga Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun manakala Kian Meng-Pei Jing akan menentukan tempat ke separuh akhir menentang pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.