Penggunaan kanabis dalam bidang perubatan di Malaysia akan diputuskan sebelum akhir tahun – Khairy

Spread the love

BANGKOK, 25 Ogos : Kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Khairy yang mengakhiri lawatan kerja bilateral kesihatan ke Bangkok, pada Khamis berkata Thailand telah banyak berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang lawatannya itu akan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan dan penanamannya.

“Saya yakin bahawa kita akan dapat kaji pengalaman Thailand untuk disesuaikan dengan konteks Malaysia nanti apabila kita bakal membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.

“Jika dibenarkan, kita akan menentukan dalam kerangka apa dan penggunaan apa yang akan dibenarkan.

Baca berita berkaitan > > > Kanabis tidak akan diguna untuk tujuan rekreasi – KJ

“Saya mahu bergerak cepat… Saya yakin bahawa kita akan dapat mengambil pendirian pada tahun ini. Keputusan utama Boleh atau Tidak akan dibuat tahun ini dengan dasar itu mungkin dilaksanakan tahun hadapan. Itu sasaran saya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Lawatan beliau itu atas jemputan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul untuk meneroka potensi penggunaan kanabis dalam bidang kesihatan. Thailand merupakan negara  Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis dalam bidang perubatan.

Sepanjang lawatan kerjanya, Khairy dan delegasi turut melawat Government Pharmaceutical Organisation (GPO) di mana beliau mendengar taklimat mengenai dasar kanabis Thailand termasuk amalan, kaedah penanaman, kajian serta penggunanan kanabis bagi tujuan perubatan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemain utama industri kanabis selain melawat Siam Cannabis Land di Pattaya di mana beliau diberi taklimat dan melawat rumah hijau dan ladang penanaman pelbagai jenis kanabis.

Khairy menjelaskan bahawa penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan bukan perkara baharu di Malaysia kerana pada tahun 2014, Sativex yang mengandungi cannabidiol (CBD) dan tetrahydrocannabinol (THC) pernah diluluskan penggunaannya di Malaysia untuk merawat kekejangan otot.

Bagaimanapun, produk itu tidak mendapat sambutan di pasaran tempatan maka pandaftarannya dibatalkan.

“Undang-undang dan kerangka sedia ada membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Khairy menambah bahawa penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan semakin luas di peringkat antarabangsa termasuk untuk penjagaan paliatif, pengurusan sakit kronik, insomnia dan pesakit yang jalani kemoterapi.

“Malaysia tidak mahu ketinggalan. Maka, kita mahu lihat dan kaji keberkesanan dan keselamatan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,”  katanya.

Sementara itu, Khairy berkata buat permulaan, Malaysia hanya melihat penggunaan produk kanabis untuk tujuan perubatan dan bukan penanamannya.

“Kalau terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan ia satu industri, kita akan mengkaji daripada segi penanaman (kanabis). Kita akan ambil langah demi langkah,” katanya.

Julai lalu, Khairy berkata satu kerangka kerja berhubung pendaftaran produk CBD tertentu bakal diumum.

Sebelum itu, Khairy telah melawat hospital psikiatri pertama Thailand – Somdet Chaopraya Institute of Psychiatry di mana beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental Dr Amporn Benjaponpitak mengenai khidmat kesihatan mental di negara itu.

Semasa lawatan itu, beliau ditunjukkan pelbagai inovasi yang dapat membantu menambah baik kesihatan mental.

Sebelum pulang, Khairy juga menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi ke 12 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Kesihatan dan Ekonomi bertema “Open to Partnership. Connect with the World”. Balance Health and the Economy”. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.