Lada keluaran Malaysia semakin mendapat permintaan di luar negara – Zuraida

Spread the love

KUCHING, 25 Ogos : Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi komited untuk meningkatkan pengeluaran lada negara yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran luar negara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian kini juga sedang meninjau pasaran baharu untuk memasarkan lada keluaran tempatan.

“Kalau kita mampu membekalkan lada untuk pasaran luar sudah tentu harganya akan meningkat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik MPB – Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2030 dan Majlis Perkhidmatan Lembaga Lada Malaysia di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin dan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Baharuddin Mokhsen.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan berhasrat untuk memastikan lada negara menjadi komoditi utama di Malaysia sekaligus menyumbang hasil kepada negara.

Katanya, ketika ini Malaysia merupakan negara pengeksport lada kelima terbesar di dunia dan hasilnya masih belum mencecah RM1 bilion namun pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mengembangkan potensinya.

Dalam pada itu Zuraida turut meminta kerjasama daripada Kerajaan Sarawak untuk membantu meningkatkan lagi kemampuan negara sebagai pengeluar lada yang berkualiti.

“Saya juga berharap agar kerajaan Sarawak membantu membabitkan aspek penyediaan tanah kepada kementerian untuk kita menanam pokok lada di negeri ini kerana ia sangat berpotensi besar,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.