Gadis 14 tahun antara yang ditahan kes culik bayi

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos : Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun merupakan antara lima individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes culik seorang bayi perempuan di rumah pengasuhnya di Bukit Tengah di sini kelmarin.

Kesemua mereka yang terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki berusia 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Machang Bubuk di sini dan di Kulim, Kedah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, bayi itu dilaporkan diculik ketika di bawah jagaan pengasuh wanita berusia 65 tahun kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurut beliau, remaja perempuan berkenaan yang membantu neneknya mengasuh mangsa telah menculik bayi itu ketika neneknya menunaikan solat di dalam bilik.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek membawa bayi berkenaan dari pangsapuri sebelum menaiki motosikal jenis Honda EX5 sambil sebelah tangan mendukung mangsa.

“Bayi itu kemudiannya dibawa ke rumah teman lelakinya di Kulim dengan menaiki van kilang dipandu ayah tiri teman lelaknya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini hari ini.

Tambah Cheng San, pihaknya segera memburu suspek selepas menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 24 tahun yang menyedari kejadian itu ketika mahu mengambil anaknya pulang.

“Polis telah menahan gadis tersebut bersama dua lelaki berusia 18 tahun termasuk teman lelakinya di sebuah pondok di Machang Bubok kira-kira pukul 11.50 malam.

“Seterusnya, polis pergi ke rumah teman lelaki suspek di Kulim dan menemui bayi berkenaan yang dijaga oleh ibu teman lelakinya berusia 43 tahun. Kita turut menahan wanita itu dengan suaminya,” katanya lagi.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Siasatan awal mendapati, menurut suspek dia mendakwa melarikan bayi itu kerana dia suka budak berkenaan kerana terlalu comel.

“Gadis berkenaan turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan bekas teman lelaki sebelum ini,” katanya sambil menjelaskan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

Difahamkan, bayi berkenaan yang merupakan anak tunggal diletakkan di rumah pengasuh itu sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.