Usahawan coklat Sarawak jana pendapatan RM200 ribu

Spread the love

KUCHING, 24 Ogos : Industri penghasilan coklat buatan tangan di negeri ini mempunyai potensi untuk terus berkembang berdasarkan jualan mencecah RM200 000 yang diraih oleh usahawan terlibat bagi enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, ketika ini terdapat 14 usahawan aktif di Sarawak yang telah mengeluarkan sebanyak 1,321 kilogram (kg) produk itu.

Kata beliau, mereka terdiri daripada 13 usahawan wanita dan seorang lelaki yang masing – masing mampu mengeluarkan hampir 100 kg produk setahun.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, hasil keluaran coklat oleh kumpulan usahawan ini mencecah 1,662 kg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Siri 2, 2022, anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sini semalam.

Sementara itu, bagi memastikan peningkatan prestasi perniagaan oleh usahawan coklat buatan tangan di sini, Willie menyarankan agar mereka berdaftar dengan LKM.

Kata beliau menerusi langkah itu, usahawan terlibat akan diberi pendedahan awal tentang teknik dan cara penghasilan coklat yang lebih baik.

“Sektor ini boleh memberi keuntungan yang tinggi kerana pembuatan coklat tidak begitu rumit dan sentiasa mendapat permintaan.

“Kita turut mempunyai Kompleks SARA Cocoa Cluster di Kota Samarahan yang mampu memproses 50 tan biji koko kering tempatan setahun dan berperanan sebagai pengeluar blok coklat utama yang memenuhi keperluan dan permintaan industri pembuatan coklat di Sarawak,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.