Sarjan polis mengaku tidak bersalah minta rasuah RM1500

Spread the love

BUTTERWORTH, 24 Ogos : Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Azlan Mohd. Nor, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) didakwa meminta suapan wang masing-masing sebanyak RM1,500 daripada dua lelaki.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka yang disiasat berkaitan laporan polis.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 5.40 petang pada 15 Julai di bilik nombor 11, Jabatan Siasatan Jenayah, IPD SPT, Bukit Mertajam dekat sini.

Bapa kepada seorang cahaya mata tersebut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPM) 2009 yang boleh dihukum mengikut dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, dia turut dituduh menerima rasuah sebanyak RM1,300 daripada salah seorang lelaki itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.25 petang pada 8 Ogos 2021 di tempat yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 beserta seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang menganggu saksi.

Kes akan disebut semula pada 26 September depan bagi serahan dokumen. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.