Sarawak dijangka mula eksport basikal buluh Januari 2023

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 24 Ogos : Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyasarkan untuk mengeksport basikal buluh ke pasaran luar negara pada Januari tahun depan.

Pengurus Besarnya, Datu Hashim Bojet berkata, pihaknya telah selesai menyiapkan empat prototaip basikal buluh dengan kerjasama syarikat dari Shanghai, China.

Kesemua prototap itu katanya dihasilkan di kilang PUSAKA di Kota Samarahan dengan menggunakan buluh yang diperolehi dari negeri ini.

“Selepas ini prototaip yang dihasilkan akan melalui ujian perindustrian di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebelum dihasilkan dalam jumlah yang banyak untuk dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Penutupan Bamboo Bike: Train The Trainee di Kompleks Industri Perabot PUSAKA di sini hari ini.

Mengulas lanjut , kata Hashim, sektor berkenaan sangat berpotensi untuk dikembangkan berikutan harga basikal buluh di pasaran global bernilai sekitar RM4,485 hingga lebih RM13, 456.50 seunit.

“Bagi basikal buluh yang dihasilkan kita, harganya akan ditentukan selepas mengambil kira keseluruhan kos  untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kalau kita tukar kepada harga di Malaysia, ianya mampu mencecah sehingga RM4,000 seunit,” katanya.

Mengakui harganya berbeza dengan bingkai logam seperti alumunium dan aloi, jelas Hashim ianya turut menerapkan teknologi hijau yang kini sedang diadaptasikan di seluruh dunia.

Ketika ini katanya di Asia Tenggara, Vietnam merupakan pengeksport basikal buluh ke Eropah.

“Oleh itu kita berharap agar Sarawak juga mampu melakukan perkara sama berdasarkan pelan strategik PUSAKA menerusi projek ladang buluh di Sabal, Simunjan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.