Sarawak akan tubuh Jabatan Perikanan sendiri 

Spread the love

KUCHING, 24 Ogos : Sarawak akan menubuhkan Jabatan Perikanan sendiri dalam tempoh terdekat selaras dengan penurunan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Oktober tahun lalu.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penubuhan jabatan baharu itu kelak akan membolehkan Sarawak mengurus tadbir industri perikanan di negeri ini, sama seperti Sabah.

Katanya, ke arah itu, Sarawak perlu melaksanakan pengubahsuaian sistem pentadbiran bagi memperkasa golongan nelayan Sarawak.

“Kita akan memastikan Sarawak mendapat manfaat penuh daripada kuasa yang diberikan untuk menubuhkan Jabatan Perikatan Negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Inovatif dan Kreatif peringkat kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Stephen Rundi, penubuhan jabatan baharu itu tidak akan bertindih dengan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Buat sementara  waktu, sistem tadbir urus yang digunakan oleh Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) akan turut digunakan  sehingga Sarawak sudah menubuhkan Jabatan Perikanannya sesuai dengan keperluan sektor perikanan kita di sini,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.