Padah langgar lampu isyarat, penunggang maut dirempuh kereta

Spread the love
BUTTERWORTH, 24 Ogos : Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal ditungganginya dirempuh kereta selepas melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Chain Ferry di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi tadi, mangsa lelaki berusia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Pemboncengnya, iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun pula cedera parah manakala pemandu kereta tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal mangsa dari arah Sungai Nyior dan tidak sempat berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Katanya, sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun dari arah Prai menghala ke Penang Sentral tidak sempat mengelak motosikal mangsa.
“Ketika kejadian, lampu isyarat laluan kereta yang dipandu penuntut institut pengajian tinggi itu berwarna hijau.
“Ia menyebabkan motosikal hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan di arah ke Chain Ferry,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya, akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah pada kepala, manakala penunggang meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini bagi urusan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.