GPO Thailand tingkatkan pengeluaran kanabis gred perubatan

Spread the love

BANGKOK, 24 Ogos : Pertubuhan Farmaseutikal (GPO) Thailand akan meningkatkan penanaman kanabis gred perubatan yang digunakan untuk menghasilkan produk minyak biji hem.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan sebanyak 12 rangkaian komuniti akan berganding bahu dengan perusahaan tempatan untuk menanam dan menuai kanabis yang memenuhi piawaian GPO.

“GPO telah bekerjasama rapat dengan Yayasan Projek Diraja dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Tanah Tinggi (Pertubuhan Awam) untuk menghasilkan produk minyak biji hem bagi menyokong dan menjana pendapatan komuniti luar bandar,” menurut kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan >>>>> Malaysia berminat belajar dari Thailand mengenai penggunaan kanabis dalam perubatan

Sehingga kini, terdapat dua produk minyak biji hem hasil keluaran GPO di pasaran iaitu teh hem dan SIBANNAC Hemp Seed Oil Bedtime Lip Care.

Kementerian memaklumkan GPO merancang untuk melaksanakan penanaman kanabis secara tertutup seluas 100 meter persegi di tapak baharu di daerah Nong Yai, Chonburi.

“GPO juga merancang menambah keluasan ladang di Pathum Thani kepada 1,000 meter persegi, dan dijangka menghasilkan  5,000 pokok kanabis dalam tempoh setahun serta 1,000 kilogram tunas dan bunga setiap tahun,” menurut kenyataan itu.

Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.

Mengikut tradisi masyarakat Thailand kanabis digunakan untuk melegakan kesakitan dan kelesuan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.