Sarawak semakin hampir untuk bergelar hab petrokimia

Spread the love

BINTULU, 23 Ogos : Sarawak kini semakin menghampiri aspirasi bergelar sebagai hab petrokimia di negara ini.

Keyakinan itu dizahirkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memaklumkan Projek Metanol Sarawak dan pembinaan loji kuasa metanol di sini akan memulakan operasinya pada 2024.

“Projek Metanol Sarawak merupakan peristiwa yang penting di mana perkembangan industri minyak dan gas di negeri ini semakin berkembang.

“Pembinaan loji kuasa metanol adalah merupakan aspirasi Sarawak dalam menubuhkan hab petrokimia di Bintulu.

“Projek metanol Sarawak pada masa kini masih dalam fasa pembinaan dan dijangka siap dan akan memulakan operasinya pada awal tahun 2024.” katanya.

Abang Johari berkata kesediaan Sarawak kini di tahap optimum selepas berjaya melatih anak tempatan dalam bidang tersebut.

“Apa yang lebih penting adalah, kita telah berjaya melatih anak tempatan Sarawak sendiri dalam proses penghasilan metanol menggunakan teknologi,” katanya

Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penghantaran Modular dari Vietnam dan Acara Simbolik Penyerahan RM4 billion Sukuk oleh RHB Group di sini semalam.

Tambahnya Projek metanol Sarawak tersebut bakal menghasilkan metanol dengan kapasiti tahunan 1.75 juta tan metrik setiap tahun.

Sebelum ini Abang Johari berkata hab petrokimia itu dijangka mewujudkan 74,000 pekerjaan baharu di sini dan mempunyai potensi untuk menjana tambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM16 bilion dan RM20 bilion setahun kepada Sarawak.

Pada sidang media sama Abang Jo juga turut mengulas berkenaan potensi Sarawak dalam pembuatan bahan komposit yang banyak digunakan industri penerbangan terutamanya dalam pembinaan kapal terbang kerana bahannya yang ringan.

“Jika dapat melakukannya dengan penggunaan teknologi, kita boleh menarik industri penerbangan untuk datang ke Sarawak untuk pembuatan komponen kapal terbang.

Kita juga boleh menjadi salah satu pembekal komponen kapal terbang,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.