Polis pertingkat kawalan keselamatan di Penjara Kajang

Spread the love

KAJANG, 23 Ogos : Polis meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di sekitar pintu masuk Penjara Kajang, lokasi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dihantar pada 6.47 petang tadi untuk menjalani hukuman.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata setakat ini, keadaan di sekitar penjara berkenaan terkawal.

“Keadaan masih terkawal. Berapa ramai kekuatan, saya tidak boleh dedahkan. Bagaimanapun, pihak polis hanya meningkatkan kawalan keselamatan di bahagian luar pintu masuk Penjara Kajang. Selain itu, kawalan keselamatan dilaksanakan oleh pihak penjara itu sendiri,” katanya kepada Bernama malam ini.

Berita berkaitan > > > Najib akan jalani hukuman penjara mulai hari ini

Berita berkaitan > > > Najib tiba di Penjara Kajang untuk jalani hukuman

Terdahulu Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati petisyen rayuan Najib tidak mempunyai merit.

Tengku Maimun yang mengetuai barisan lima panel hakim memutuskan menolak permohonan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi yang diputuskan pada 28 pada Julai 2020.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.