Mural “The Little Hong Kong” jadi tarikan terbaru di Sandakan

Spread the love
SANDAKAN, 23 Ogos : Sandakan yang juga dikenali dengan jolokan ‘The Little Hong Kong’ kini diabadikan dalam sebuah lukisan mural gergasi.
Mural itu dihasilkan oleh sekumpulan belia tempatan pada dinding sebuah bangunan terbiar di tengah bandar Sandakan.
Projek itu adalah hasil inisiatif Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang berharap agar lukisaan mural itu menjadi satu lagi tarikan terbaru di Sandakan bagi pengunjung dalam dan luar negeri.
“Kita lancarkan mural ini secara meluas agar lebih ramai penduduk setempat mahupun mereka yang berkunjung ke Sandakan untuk mengabadikan kenangan di hadapan mural ini.
“Ini merupakan usaha berterusan yang mana lebih banyak lagi lukisan mural seumpama akan dihasilkan. Ia juga bagi merancakkan kedatangan penduduk ke bandar kerana ketika ini tumpuan lebih banyak di kawasan bandar satelit,” katanya di Sandakan.
Sementara itu, pelukis utama Xian Cai Xiang, 29, berkata lukisan itu memaparkan seorang wanita yang berjalan-jalan di tengah bandar Sandakan sambil menikmati beberapa identiti daerah ini.
Katanya, ia termasuk ikan masin, keropok ikan, restoran makanan laut dan bas henti-henti yang sinonim dengan Sandakan.
“Saya cuba untuk mencari kelainan dari segi konsep kerana mural yang sedia ada di Sandakan lebih berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti Orang Utan.
“Oleh itu, saya mengetengahkan konsep memori penduduk Sandakan dengan melukis apa yang menjadi identiti bagi penduduk di sini,” jelasnya.
Beliau yang dibantu oleh rakan-rakannya iaitu Alex Fung Yi Khong, 25, dan Lee Jin Quan, 22, mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan mural gergasi itu.
Mereka berharap agar mural itu bukan sahaja menbantu meningkatkan sektor pelancongan domestik, tetapi juga dapat mengembalikan memori zaman silam penduduk setempat. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.