Kontrak untuk 18 projek akan ditamatkan di Sarawak termasuk empat pakej Lebuhraya Pan Borneo

Spread the love

KUCHING, 23 Ogos : Kontrak untuk 18 projek di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM563 juta akan ditamatkan tidak lama lagi termasuk empat pakej projek Lebuhraya Pan Borneo.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek terbabit adalah antara 95 projek bernilai RM10.357 bilion yang disenaraikan sebagai projek kritikal sehingga Jun tahun ini.

“Daripada 95 projek kritikal, 45 bangunan, 20 jalan raya, 10 jalan pesisir dan Jalan utama (CSTR), sembilan jambatan, tujuh infrastruktur pembangunan luar bandar dan empat pakej projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Projek tersebut juga termasuk Klinik Kesihatan di Long Busang, Kapit, Lubok Antu dan Sri Aman serta kerja pembaikan sekolah usang di Samarahan, Kapit dan Sibu.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bilik gerakan sementara Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak bagi mendengar taklimat kelewatan projek kritikal di sin semalam.

Taklimat yang diketuai oleh jurutera JKR memfokuskan kelancaran projek tersebut dalam tempoh pelaksanaan.

Bagaimanapun tambah Uggah, 47 projek yang mengalami kelewatan bernilai RM2.394 bilion dijangka siap tahun ini.

“Terutamanya melibatkan pembaikan sekolah usang, kerja-kerja pembinaan jalan raya dan naik taraf serta pembinaan bangunan kerajaan.

 “Antaranya ialah Jalan Masuk Empangan Hidro Baleh bernilai RM95 juta, Pusat Penyelidikan dan Kemajuan Industri Lada Nasional bernilai RM40 juta di Semenggok, menaik taraf Jalan Pakan RM24.56 juta di Daerah Pakan dan SK Maludam dan asrama di Maludam berharga RM35.76 juta.

 “Kesemua projek ini dijangka siap menjelang September tahun ini manakala Klinik Kesihatan Serian bernilai RM23.89 juta dijangka siap pada suku pertama tahun depan.” katanya.

 Sementara itu ketika melawat pejabat JKR Bahagian Bintulu pada hari Sabtu Uggah berkata JKR dan MIPD akan mengadakan seminar tidak lama lagi untuk menghasilkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghasilkan strategi dan cadangan untuk mengurangkan atau menamatkan projek sakit. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.