Kes SRC: Rayuan terakhir Najib bersambung hari ini

Spread the love

PUTRAJAYA, 23 Ogos :  Mahkamah Persekutuan hari ini dijadual mendengar hujahan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, jika peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik oleh Najib untuk mewakilinya tetap enggan berhujah, maka panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mungkin membuat keputusan serta-merta atau menangguhkannya ke suatu tarikh lain.

Pada Jumaat lepas, Hisyam memaklumkan panel itu bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan sama ada secara bertulis atau lisan bagi membela Najib.

Baca artikel berkaitan:

1.Mahkamah Persekutuan mungkin terus buat keputusan dalam rayuan akhir kes SRC Najib

2. Permohonan Najib bantah dua peguam wakili Tommy Thomas ditolak

3. Pendakwaan sambung hujah dalam rayuan kes SRC Najib

4. Hidup saya, kebebasan, dan hak untuk perbicaraan yang adil jadi taruhan – Najib

5.Perbicaraan kes 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi ditangguhkan

Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd, berkata mahkamah akan menangani perkara itu pada Selasa (hari ini).

Pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram, ketika mengakhiri hujahan pada Jumaat pula berkata mahkamah boleh terus membuat keputusan walaupun tiada hujahan daripada peguam Najib.

Prosiding itu, yang bermula pada Khamis, menyaksikan pelbagai peristiwa menarik dengan Hisyam mula-mula memohon untuk menarik diri daripada mewakili Najib namun permohonannya ditolak oleh mahkamah yang kemudian mengarahkan pendakwaan untuk mengemukakan hujahan mereka terlebih dahulu.

Peguam itu turut memaklumkan panel Mahkamah Persekutuan bahawa Najib telah menggugurkan peguam caranya Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakili beliau.

Hisyam sekali lagi memohon agar prosiding itu ditangguh sehingga Khamis ini kerana beliau mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu namun ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu dan mengarahkan agar ia diteruskan pada 18 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana Mohd Nazlan telah memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Beliau kini dibebaskan dengan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu pelupusan rayuan itu.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara dan denda. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.