Alyah mahu belajar menyanyi lagu Iban dengan Winnie Albert

Spread the love

KUCHING, 23 Ogos : Penyanyi terkenal, Alyah menyimpan hasrat untuk belajar bahasa Iban dengan penyanyi terkenal Sarawak, Winnie Albert yang tular baru – baru ini.

Alyah atau nama sebenarnya Datin Noor Hasliah Abu Hasan, 41, berkata, impiannya itu kena dengan sikapnya yang suka mempelajari perkara baharu termasuklah bahasa.

Penyanyi yang pernah hits dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu berkata, dia berasa rugi sekiranya tidak mengambil peluang itu.

“Sebenarnya saya sudah banyak kali datang ke Sarawak tetapi disebabkan jadual yang padat, saya tidak berkesempatan melakukan banyak perkara termasuk belajar bahasa Iban,”katanya ketika berkunjung ke TVS baru – baru ini.

Alyah turut teruja apabila diberitahu stesen televisyen ini mempunyai bahagian berita Iban.

“Jika datang lagi nanti, saya mahu ke desk Iban untuk bertemu wartawan dan pembaca berita di situ, mungkin untuk belajar beberapa perkataan daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, Alyah mengakui dia turut menonton video nyanyian Winnie baru – baru ini dan kagum dengan bakat besar dimiliki anak seni berasal dari Sri Aman itu.

“Jika berkesempatan, saya juga mahu belajar menyanyi lagu Iban dengan penyanyi itu,” katanya.

Ditanya tentang perkembangan terbaharunya, Alyah yang turut meledak dengan lagu Kisah Hati berkata, dia akan mengeluarkan  single terbaharunya pada bulan depan.

Lebih istimewa untuk peminatnya di Sarawak, isteri kepada pengarah muzik terkenal tanah air, Datuk Ramli MS ini berkata, buah tangan terbaharunya itu akan ditayangkan di TVS untuk kali pertamanya.

Sementara itu ditanya tentang pendapatnya mengenai ramai penyanyi terjun ke dunia lakonan, Alyah berkata, buat masa ini dia tidak melihat kemungkinan itu dalam karier seninya.

“Berlakon memerlukan disiplin dan kesabaran yang tinggi kerana perlu menunggu lama di lokasi penggambaran dan saya tidak begitu sabar,” katanya sambil ketawa.

Namun Alyah mengakui selepas lagu Kisah Hati popular lebih 10 tahun lepas, dia mendapat banyak tawaran berlakon.

“Ketika itu karier nyanyian sedang memuncak kerana terlalu banyak undangan mengadakan persembahan menyebabkan saya tidak punya banyak waktu untuk berlakon,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.