Tabung Haji diarah dapatkan maklumat kepulangan wanita berpakaian ihram

Spread the love

PUTRAJAYA, 22 Ogos : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad telah mengarahkan Tabung Haji untuk menghubungi Jabatan Imigresen bagi mendapatkan maklumat kepulangan seorang wanita berpakaian ihram lelaki ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga membuat siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat asal wanita berkenaan dan akan memaklumkan kepada pihak berkuasa negeri terlibat untuk tindakan lanjut.

Baca artikel berkaitan:

1.Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari

2.Tindakan tegas kepada wanita tunai umrah pakai ihram lelaki – Idris

“Dia pergi (Makkah) secara sendiri menggunakan visa pelancong,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi motosikal kongsi rezeki sempena Program Munajat Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) semalam.

Program yang diadakan di Masjid Putra itu bagi menyambut genap setahun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi negara dan Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Pada 12 Ogos, Idris dilaporkan berkata tindakan tegas menanti kepulangan wanita terbabit kerana didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki.

Seorang pengguna media sosial berkongsi video berdurasi 17 saat memaparkan seorang ‘lelaki’ merakam dirinya tawaf di depan Kaabah dalam Masjidilharam di Makkah yang akhirnya tular selepas identiti individu itu didedahkan sebagai wanita.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.