Sekolah tertua di Malaysia main peranan didik pelajar kenali sejarah kemerdekaan

Spread the love

GEORGE TOWN, 22 Ogos : Sekolah tertua di Malaysia, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor memainkan peranan untuk mendidik generasi muda lebih mengenali sejarah kemerdekaan selain menanam semangat patriotisme dan cintakan negara serta mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Guru besar SK Sungai Gelugor, Zamzuri Ab Rahman berkata pengurusan sekolah yang berusia 196 tahun itu, tidak akan melepaskan peluang untuk menyambut Bulan Kebangsaan setiap tahun secara besar-besaran dengan menyusun pelbagai aktiviti melibatkan murid serta dekorasi sekolah untuk menyemarakkan semangat patriotisme.

“Peranan pentadbir sekolah adalah memastikan semua murid tidak lupa pada asal usul kewujudan Tanah Melayu dan Malaysia, serta menangkis fahaman yang tidak betul, tanam sifat sayang negara dan keharmonian dalam kehidupan majmuk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada bulan Ogos setiap tahun, Zamzuri berkata sekolah akan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Bulan Kebangsaan ini seperti pameran sejarah serta pelbagai pertandingan bertemakan kemerdekaan seperti kuiz dan pertandingan mewarna.

Katanya melalui sejarah, murid-murid juga akan mengetahui betapa susahnya negara mengharungi rintangan untuk mencapai kemerdekaan selain menyemarakkan semangat kemerdekaan mereka.

Selain itu dari segi dekorasi, Zamzuri berkata pihak sekolah sedang giat memasang Jalur Gemilang di setiap sudut terutamanya dalam setiap bilik darjah bagi melengkapkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan.

“Kami berharap aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mendidik, malah apa yang lebih penting untuk murid-murid merasai dan akan mengenang sambutan ini sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Zamzuri berkata SK Sungai Gelugor berhasrat mengekalkan bangunan warisan itu bagi memastikan sejarah sekolah yang berusia 196 tahun serta peranan yang dimainkannya dalam mendidik generasi terdahulu kekal diingati oleh masyarakat.

Katanya, walaupun berada di abad ke-21 yang penuh dengan kemodenan, SK Sungai Gelugor mengekalkan ciri-ciri warisan di bangunan asalnya, di samping mengoptimumkan sesi pembelajaran murid-murid dengan mengaplikasikan teknologi maklumat.

“Pada awalnya, kawasan ini dijadikan kawasan rehat pekerja ladang getah yang ditadbir pada zaman British dan kemudian pemilik ladang David Brown menaik taraf bangsal kuda untuk dijadikan bilik darjah untuk pengajaran orang dewasa.

“Pada tahun 1826 barulah dengan rasminya dibina beberapa bangunan kayu untuk menempatkan pelajar yang kebanyakannya anak kepada pekerja ladang yang tinggal di situ dan sekali gus bermulalah legasi pendidikan di SK Sungai Gelugor,” katanya.

Beliau berkata bangunan asal sekolah itu kini dijadikan Galeri Warisan dan Kebudayaan SK Sungai Gelugor yang koleksi barangan dan gambar galeri itu adalah hasil sumbangan bekas guru sekolah itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.