Sarikei di landasan tepat sebagai pengeluar makanan Sarawak

Spread the love

SARIKEI, 22 Ogos: Aspek pendidikan menjadi antara fokus utama program pembangunan di Sarikei selari perancangan projek berimpak tinggi yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata kelulusan beberapa projek bagi kawasan Repok membolehkan penduduk Sarikei secara amnya menerima kemajuan seiring pembangunan yang dicorak pentadbiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Pelbagai projek berimpak tinggi yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di kawasan DUN Repok membuktikan penduduk Sarikei tidak tersisih dalam arus pembangunan.

“Sehubungan itu dalam tempoh lima tahun ini, saya akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan kerajaan untuk membangunkan DUN Repok.

“Antara aspek penting yang terus menjadi tumpuan saya ialah pendidikan selain meneruskan bantuan persekolahan kepada semua pelajar khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perlantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) baru dan penghargaan warga emas anjuran Persatuan Foochow Sarikei, di sini, semalam.

Tambahnya antara projek penting yang sedang diberi tumpuan termasuklah pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Taman Agro dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC).

Kesemua projek itu katanya, bakal membawa manfaat besar kepada rakyat Sarikei selepas ini.

“Kita sedia maklum, kerajaan bersungguh-sungguh menjadikan Sarikei sebagai pengeluar makanan Sarawak.

“Justeru semua projek yang diluluskan itu merupakan sebahagian usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.