Pemandu lori terlibat dadah ditahan kali kedua di Mukah

Spread the love

MUKAH, 22 Ogos : Seorang pemandu lori yang pernah ditahan polis atas kesalahan narkotik sebelum ini seolah- olah tidak serik apabila sekali lagi ditahan atas sebab berkenaan semalam.

Ketika pemeriksaan, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 31 tahun didapati memiliki dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 19.81 gram yang dianggarkan bernilai RM1,981.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan di Jalan Mukah-Balingian pada pukul 10.35 pagi.

“Siasatan polis mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak awal  Jun tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ujarnya lagi, pemeriksaan lanjut ke atas beg silang suspek pula menjumpai dua peket plastik lutsinar dan satu keratan straw lutsinar berwarna biru berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Ujian saringan air kencing saringan pula mendapati lelaki itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,”katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.