Majlis serahan kunci rumah Darul Hana ditunda ke 27 Ogos

Spread the love

KUCHING, 22 Ogos : Majlis penyerahan kunci rumah serta bayaran pampasan perpindahan dan geran tanah kepada kumpulan pertama ketua isi rumah (KIR) ke Skim Penempatan Semula Darul Hana dijadual semula pada 27 Ogos ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, program itu terpaksa ditunda berikutan pemasangan meter air dan elektrik sdi ebahagian rumah di situ masih belum dapat dilaksanakan.

Menurutnya, ini berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme terhadap kelengkapan dan peralatan elektrik dan air di situ.

“Sebenarnya kemudahan air dan elektrik telah disambung namun meter hanya akan dipasang setelah rumah di situ diduduki.

“Pihak Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) akan melaksanakan kerja pemasangan kelengkapan dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media setelah hadir Majlis Munajat Keluarga Malaysia 2022 di Masjid Al-Abyad di sini hari ini.

Mengikut perancangan, penduduk dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Lot Tambahan yang melibatkan keseluruhan 337 KIR akan terlibat dengan fasa perpindahan itu.

Sementara itu, Dr. Abdul Rahman turut memaklumkan majlis penyerahan kunci akan dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di tapak Blok 1A Bangunan Darul Hana pada tarikh berkenaan.

Sementara itu, seramai 800 jemaah hadir pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia 2022 Sarawak hari ini.

Sempena program itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada lima surau terpilih antaranya Surau Darul Hassan Kampung Sungai Periok dan Surau Hayatul Islam Kampung Panglima Seman.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.