KPM terima 19 aduan sejak lancar portal aduan buli

Spread the love

PUTRAJAYA, 22 Ogos : Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 19 aduan berkaitan kes buli di sekolah menerusi portal aduan buli sejak ia dilancarkan pada Khamis lepas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sebanyak 16 aduan diterima melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM manakala tiga lagi melalui aplikasi WhatsApp di talian 014-800 9325.

“Apabila terima aduan, kita akan buat penelitian yang mendalam untuk ambil tindakan sewajarnya kerana bagi kementerian, sama ada kes itu berlaku di luar bandar atau bandar, di sekolah asrama atau tidak, semuanya kita akan buat penelitian.

“Kita tidak anak tirikan mana-mana sekolah. Paling penting, maklumat itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes buli,” katanya selepas melancarkan platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di sini hari ini.

Portal aduan buli, yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli, dilancarkan bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM melalui tiga saluran iaitu talian khas aduan buli (03-8884 9352) atau aplikasi WhatsApp di talian 014-800 9325, e-mel ([email protected]) dan aduan SISPA KPM yang tersedia di portal itu.

Mengenai DELIMa, Radzi berkata portal yang diperkenal pada 1 Julai 2019 itu ditambah baik dengan tiga aspek penting iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.

“Ketiga-tiga aspek menggunakan teknologi kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang memberikan pengalaman pembelajaran menyeronokkan serta bermakna kepada murid,” katanya sambil menambah langkah itu akan menjadikan portal DELIMa lebih relevan kepada guru dan murid. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.