1,826 ditahan di Sarawak terlibat kegiatan perjudian

Spread the love

KUCHING, 22 Ogos : Polis Sarawak telah menahan seramai 1,826 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian sepanjang tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua mereka ditahan menerusi 1,381 serbuan setakat 19 Ogos lepas.

“Kita juga membuat rampasan pelbagai barangan yang disyaki untuk menjalankan kegiatan perjudian membabitkan nilai RM462, 071,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd. Azman turut memberitahu, pihaknya juga baharu selesai melaksanakan Op Dadu selama sebulan yang berakhir 14 Ogos lepas.

“Menerusi siri pertama operasi ini, sebanyak 344 serbuan telah dilakukan di seluruh Sarawak yang melibatkan tangkapan seramai 251 lelaki dan 136 perempuan.

“Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 360 orang merupakan rakyat tempatan manakala bakinya warga asing,” katanya.

Beliau memberitahu, Polis Sarawak secara berterusan turut melakukan pemantauan di premis disyaki menganjurkan kegiatan perjudian selain turut memantau secara dalam talian.

“Bagi premis yang terlibat dengan kegiatan perjudian, kita akan meminta Sarawak Energy Berhad (Sesco) untuk memotong bekalan elektrik.

“Selain itu, polis juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melakukan sekatan ke atas laman sesawang berkaitan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.