Warga emas hilang di hutan ketika cari pucuk midin

Spread the love

SIBU, 21 Ogos : Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar mencari pucuk midin di kawasan hutan berhampiran Kem Belia Kemuyang, di sini semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sarawak, Penguasa Kanan I, Janggan Muling berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Balai Polis Sibujaya pagi tadi.

Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada pukul 10.51 pagi.

“Berdasarkan maklumat, mangsa dikenali sebagai Kuta Jenang yang merupakan penduduk tempatan berusia 81 tahun.

“Kehilangannya disedari oleh ahli keluarga selepas dia tidak pulang ke rumah sejak masuk ke kawasan hutan berkenaan petang semalam,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Difahamkan pada mulanya usaha mencari mangsa dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung namun tidak berhasil.

Katanya, operasi SAR hari pertama turut dibantu oleh Unit K9 bersama seekor anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu selain disertai oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Pada pukul 4.50 petang tadi, operasi terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca mulai gelap dan akan disambung semula pagi esok,”katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.