Tiga kaum kerjasama hias PPR Gua Musang dengan 12,000 Jalur Gemilang

Spread the love

GUA MUSANG, 21 Ogos : Semangat Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lagi amat dirasai di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini, apabila penduduknya bekerjasama memasang 12,000 Jalur Gemilang menghiasi 12 blok kediaman di situ.

Ketua Blok K PPR Gua Musang Shukri Idris, 54, berkata penduduk di kawasan perumahan itu menggembleng tenaga memasang Jalur Gemilang sejak seminggu lepas.

“Kami menerima sokongan padu semua penduduk termasuk daripada kaum Melayu, Cina dan India untuk aktiviti menghias blok-blok kediaman di PPR ini, dan mereka juga turut menyumbang dana bagi penyediaan bendera pelbagai saiz untuk blok masing-masing.

“Semua ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk menzahirkan semangat cintakan negara di samping sebagai teladan kepada anak muda untuk menghayati erti kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPR Gua Musang, di sini hari ini.

Shukri juga berkata pembelian setiap bendera adalah hasil daripada kutipan penduduk yang dianggarkan berjumlah RM1,000 bagi setiap blok di kawasan perumahan itu.

Seorang penduduk Lee Man Theng, 41, berkata setiap blok di kawasan itu akan dihiaskan dengan dekorasi berlainan menggunakan asas yang sama iaitu Jalur Gemilang.

“Setiap tahun saya ternanti-nantikan aktiviti seumpama ini kerana setiap blok akan serlahkan kreativiti masing-masing, tetapi kami bukanlah bersaing, cuma menunjukkan keterujaan dalam cara yang berbeza.

“Saya rasa bersyukur dapat hidup dan membesar dalam suasana yang harmoni meskipun negara mempunyai kepelbagaian kaum, bangsa dan budaya,” katanya.

Seorang lagi penghuni R. Kamala, 53, berkata sejak PPR ini dibuka lima tahun lepas, sudah menjadi rutin mereka untuk bergotong-royong memasang bendera setiap kali tiba sambutan Hari Kebangsaan.

“Ini adalah satu daripada cara untuk kami menunjukkan semangat (Hari Kebangsaan), kami juga dapat berjumpa dan bermesra sesama jiran sambil memasang bendera.

“Biasanya, bendera akan diletakkan pada setiap tingkat termasuk tingkat paling tinggi iaitu tingkat empat.” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.