Sarawak kemuka permohonan bina BBP di Sebuyau – Julaihi

Spread the love

SEBUYAU, 21 Ogos : Kerajaan Sarawak telah mengusulkan cadangan pembinaan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di kawasan ini bagi memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kebakaran.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasinya, Datuk Julaihi Narawai berkata, beliau telah membuat permohonan itu kepada Kerajaan Persekutuan baru – baru ini memandangkan perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Katanya, buat sementara waktu, langkah segera yang akan diambil untuk memudahkan operasi memadam kebakaran di Sebuyau ialah dengan menubuhkan pasukan bomba komuniti.

“Sekarang ini Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terdekat ialah di Asajaya dengan jarak kira – kira 62 kilometer (km) dari sini.

“Sekiranya berlaku kebakaran, ianya mengambil masa untuk pasukan bomba tiba,”katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran yang berlaku di sini pada 6 Ogos lepas.

Sumbangan disampaikan kepada sembilan penerima melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM 54,450 yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Bantuan sebanyak RM300 diberikan menerusi Tabung Bantuan Segera manakala RM6,000 diberikan di bawah Bantuan Pemulihan Perniagaan Kecil kepada lapan penerima.

Kebakaran pada pukul 2 petang itu menyebabkan 10 kedai di pekan ini musnah.

Sementara itu, berbalik kepada keperluan penubuhan pasukan bomba komuniti, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, ianya sebagai langkah berjaga – jaga sekiranya berlaku kebakaran pada masa akan datang.

“Saya bersedia menghulurkan geran bantuan bagi memudahkan penubuhan pasukan itu.

“Sebelum ini Sebuyau mempunyai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) namun sudah tidak aktif,”katanya. -TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.