Permohonan 19 bekas tentera tidak diiktiraf sebagai veteran ATM sedang diteliti

Spread the love

KUCHING, 21 Ogos : Kementerian Pertahanan sedang meneliti 19 permohonan bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku serta tidak diiktiraf sebagai sebagai Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau berkata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan mengumumkan keputusan permohonan berkenaan dalam masa terdekat.

“Kes pemberhentian yang dimaksudkan ini melibatkan bekas tentera yang diberhentikan dalam tempoh 10 ke 15 tahun lepas, (dan) tidak berkhidmat semasa zaman kemerdekaan,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran ATM Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Jun lepas, Hishammuddin menerusi hantaran di Twitternya memaklumkan sebuah Jawatankuasa Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM  telah ditubuhkan bagi mempertimbangkan isu berkenaan.

Permohonan tersebut merupakan antara tuntutan veteran ATM sendiri, memandangkan tentera yang diberhentikan tidak dapat menikmati manfaat serta kemudahan yang disediakan, sekiranya tidak diiktiraf sebagai seorang veteran.

Terdahulu, Ikmal Hisham menganugerahkan PJM kepada 713 Veteran ATM bertempat di sebuah hotel di sini.

Penganugerahan PJM yang dilaksanakan mulai 3 Mac 2004, merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan, dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.

Ikmal Hisham berkata sehingga hari ini, terdapat 31,221 warga Veteran ATM telah menerima PJM, dan dalam majlis itu menyeru kerjasama syarikat korporat di Sarawak untuk melaksanakan pengambilan pekerja dalam kalangan veteran ATM yang masih produktif, dengan menawarkan skim gaji yang lebih baik.

“Terdapat beberapa contoh yang telah dilaksanakan di Sarawak iaitu terdapat seramai 80 orang veteran yang telah diambil bekerja sebagai Immune Belt Enforcement Team (IBET) dan 40 orang veteran diambil bekerja sebagai pasukan Pengawal Pantai Sarawak,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.