Maklumat orang awam bantu gagalkan cubaan seludup minyak petrol bersubsidi

Spread the love

LAHAD DATU, 21 Ogos : Maklumat yang disalurkan oleh orang awam yang melihat aktiviti mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem di sini berjaya membantu pihak berkuasa mematahkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi pagi semalam.

Pengarah Zon Marim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd. Rizam Nik Mohd. Fauzi berkata, sejurus mendapat maklumat berkenaan, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan empat lelaki.

Katanya, kesemua suspek diberkas ketika cuba menyeludup sebanyak 8,000 liter minyak petrol kira – kira pukul 3.30 pagi.

“Hasil serbuan melalui laut dan darat telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan bersama seorang warga Filipina berusia di antara 20 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, semasa serbuan, kesemua suspek didapati sedang memindahkan minyak dari lori ke sebuah bot kargo yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Pemeriksaan dokumentasi bot kargo mendapati ianya tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol.

“Sebuah bot kargo, sebuah lori bersama 40 tong drum dengan anggaran minyak petrol berjumlah 8000 liter turut dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM286,400,”katanya.

Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.