De’blair pikat pengunjung KFF dengan tarian K-pop

Spread the love

KUCHING, 21 Ogos : Setelah dua tahun sepi, kumpulan tarian tempatan, De’blair bersedia untuk kembali meneruskan karier seni mereka.

Kumpulan yang dianggotai oleh seramai tujuh ahli itu sebelum ini terkenal di kalangan penduduk negeri ini kerana sering dijemput membuat persembahan dalam pelbagai program di Sarawak.

Bersempena Kuching Festival Food Fair 2022 (KFF) yang sedang berlangsung, De’blair berpeluang menampilkan aksi lincah mereka yang berjaya memukau ribuan pengunjung di Dataran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) baru – baru ini.

Salah seorang ahli kumpulan, Mike berkata, persembahan di KFF merupakan motivasi terbaik untuk mereka kembali aktif selepas berhenti berikutan penularan COVID-19.

“Persembahan tadi merupakan pembakar semangat untuk kami.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi tadi kerana sebenarnya sudah lama kami tidak menari disebabkan studio ditutup dan sebagainya,”katanya kepada TVS.

Menurut Mike, pemain industri seni merupakan antara yang paling terjejas sepanjang tempoh pandemik dan mereka turut tidak terkecuali.

“Kumpulan kami diuji kerana kehilangan ahli apabila ada yang memilih untuk berhijrah mencari pekerjaan yang lebih stabil untuk menerusikan kehidupan,”katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar Dreamage Dance Studio, Shanx berkata, dia gembira melihat sambutan hangat yang diberikan oleh orang ramai ketika persembahan De’blair.

“Saya agak terkejut namun tahu mereka (De’blair) berhak menerima penghargaan itu kerana sentiasa bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik kepada penonton,” katanya.

Kumpulan yang bernaung di bawah studio berkenaan aktif dengan tarian K-pop dianggotai ahli dari pelbagai latar belakang yang berbeza. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.