1,097 usahawan kraf di Sarawak terima bantuan PEMULIH

Spread the love

SIMUNJAN, 21 Ogos : Seramai 1,097 usahawan kraf di Sarawak menerima bantuan RM1,500 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Industri Kraf bagi memulihkan perniagaan mereka yang terkesan akibat COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bantuan sekali bayar itu diberikan secara peringkat untuk kumpulan usahawan kraf yang dikenal pasti.

Katanya, menerusi bantuan itu, kerajaan berharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pemain industri kraf tangan negara selain sebagai galakan untuk mereka bangkit dan seterusnya merancakkan semula industri berkenaan.

“Sebelum ini kementerian telah menyerahkan bantuan ini di beberapa negeri dan hari ini giliran penerima di Sarawak.

“Saya berharap agar usahawan terlibat dapat memanfaatkan bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan bantuan berkenaan kepada 26 usahawan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Sementara itu, melalui pakej berkenaan, Nancy memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM9 juta pada tahun ini bagi membantu 6,000 orang usahawan kraf di seluruh negara.

“Insentif ini bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti kraf tempatan, membantu memperkasakan ekosistem industri perlancongan dan meningkatkan daya tahan industri pada masa hadapan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.