Sabah perkenalkan buah avocado ‘gergasi’

Spread the love

TAWAU, 20 Ogos : Sabah memperkenalkan dua varieti baharu tanaman avocado dan tarap hasil penyelidikan sejak 20 tahun lalu yang dijalankan oleh Stesen Penyelidikan Pertanian Tawau.

Dua varieti itu adalah avocado (QAV 3) dan tarap (QTRP 1) yang memiliki ciri istimewa antaranya mempunyai jangka matang lebih cepat dan penghasilan buah lebih besar serta banyak dengan nilai jualan yang lebih tinggi.

Timbalan Ketua Menteri ll Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan berkata, varieti tanaman itu boleh ditanam secara komersil dan berpotensi untuk dieksport serta diproses sebagai tamuan produk hilitan pada masa akan datang.

“Produk avocado dan tarap yang paling terkini ini memberikan satu asas komersil pertanian yang lebih menguntungkan sebab jangka matang lebih cepat iaitu dalam tempoh dua tahun dan lima tahun boleh berbuah dan buahnya lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-65 Stesen Penyelidikan Pertanian Quion Hill dan Pelancaran Dua Varieti Tanaman itu di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua varieti tanaman itu akan memberi impak positif kepada perkembangan sektor pertanian kerana memberi lebih banyak pilihan kepada pengusaha mempelbagaikan penghasilan produk.

Terdahulu beliau berkata, Sabah telah mengeksport pelbagai hasil pertanian lebih 478 000 tan dengan nilai RM22.2 billion.

Jeffery dalam pada itu mahu Sabah meneroka potensi eco-tourism di semua kawasan stesen penyelidikan pertanian yang mempunyai pelbagai jenis tanaman buah-buahan tempatan untuk menarik kedatangan pelancong. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.