Program Jualan Murah Keluarga Malaysia [email protected] dilancar di Labuan

Spread the love

LABUAN, 20 Ogos : Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) [email protected] 2022 yang dilancar di pulau bebas cukai ini dapat mengurangkan beban kewangan pengguna dengan penawaran harga barangan yang lebih murah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata program yang berlangsung selama lima bulan bermula hari ini hingga 31 Dis itu merupakan satu program inisiatif oleh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

“Program ini juga bertujuan membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata JMKM bagi bulan Ogos akan diadakan di tiga pasar raya iaitu Bataras Hypermarket, Savemore Supermarket dan Family Mart pada 20 dan 21 Ogos serta 27 dan 28 Ogos dan setiap pembelian hanya dibenarkan satu unit sahaja bagi setiap jenis barangan yang ditawarkan dalam program itu.

Sebanyak lapan jenis barangan yang disenaraikan dalam JMKM 2022 dan kadar subsidi yang diberikan seperti ayam segar/ayam bulat adalah sebanyak RM3, telur ayam (50 sen), tepung gandum satu kilogram (20 sen), gula satu kilogram (15 sen).

Barangan lain ialah sardin bukan premium 425gm dengan kadar subsidi sebanyak 50 sen, beras bukan premium lima kilogram (RM1.50), susu pekat 500gm (70 sen) dan santan kotak 200ml (20 sen).

Program JMKM akan diperluaskan dalam skala yang lebih besar bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga yang lebih murah daripada pasaran.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.