MOTAC laksana inisiatif perhebat pelancongan di Simunjan

Spread the love

SIMUNJAN, 20 Ogos : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited untuk memperhebatkan sektor pelancongan di daerah ini dan seluruh Sarawak.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, MOTAC akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan lebih banyak tarikan baharu agar kawasan ini dikunjungi oleh pelancong luar.

Katanya, antaranya termasuk mengadakan beberapa siri bengkel, latihan dan kursus bersama agen pelancongan, pengusaha inap desa dan pemimpin komuniti setempat.

“Kita mahu meningkatkan lagi pembangunan produk pelancongan termasuk mempakejkannya bagi membolehkan komuniti setempat memanfaatkan khazanah di sekeliling mereka.

“Inilah yang mahu dicapai dan bertepatan dengan apa yang ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg beberapa hari lalu yang mahu kita (pemain industri pelancongan) supaya memberi tumpuan kepada pelancong premium yang datang ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Esplanade Simunjan yang telah disempurnakan oleh Abang Johari di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand membolehkan Sarawak menerima kedatangan pelancong dengan jumlah yang besar.

“Apabila kita menerima lebih ramai pelancong kelak dan sektor pelancongan mulai pulih, kita perlu bersedia lebih awal untuk memantapkan lagi industri hospitaliti tempatan seperti makanan malahan keseluruhan ekosistemnya,”tambah Nancy. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.