Kerajaan Sarawak lulus RM79 juta atasi masalah hakisan di Simunjan

Spread the love

SIMUNJAN, 20 Ogos : Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM79 juta bagi mengatasi masalah hakisan di Simunjan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dengan fasa pertama dijangka akan bermula dalam tempoh enam bulan akan datang.“ Kajian telah dilakukan dengan teliti dan akhirnya kita buat secara benteng secara menyeluruh dan kemas,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Esplanade Simunjan di sini, hari ini.

Dalam pada itu Abang Johari turut memaklumkan , Kerajaan Sarawak juga sedang berusaha untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan termasuk membina dua saluran air masing – masing satu di Samarahan dan Serian supaya dapat menyalurkan bekalan ke Gedong dan kawasan sekitarnya.

Berkenaan Esplanade Simunjan, beliau yakin ianya akan menjadi mercu baharu di kawasan ini.

“Ini akan membolehkan masyarakat setempat untuk meningkatkan pendapatan mereka dengn lebih meluas,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kos keseluruhan pembinaan Esplanade Simunjan sedia ada ialah sebanyak RM1.25 juta bagi dua fasa.

“Kita juga memerlukan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membina bumbung dan landskap di tebingan sungai di Pekan Simunjan bagi mengindahkan lagi pemandangan di sini,” katanya.

Abang Johari ketika berucap juga memberi kelulusan segera terhadap permohonan berkenaan. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.