Keharmonian asas capai perpaduan kaum – Fatimah

Spread the love

KUCHING, 20 Ogos : Keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya perlu dipupuk kerana ianya menjadi asas untuk mencapai perpaduan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Fatimah berkata, perpaduan yang utuh haruslah mengabungkan semua kelompok bangsa di sesuatu tempat di samping melibatkan golongan muda dan kanak-kanak agar semangat perpaduan itu dapat diterapkan kepada golongan itu sejak awal.

“Ini akan menjadi sebahagian daripada jati diri anak itu dan akan dibawa sehingga mereka dewasa.

“Perkara seperti ini perlu ditekankan di sebuah negeri dan negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Program itu dilaksanakan serentak di seluruh negara bertujuan sebagai platform untuk mengeratkan jalinan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pada masa sama, ianya turut membantu dalam menyemarakkan Aspirasi Keluarga Malaysia melalui keterangkuman, kebersamaan, kesyukuran dan semangat muhibah di kalangan keluarga besar Malaysia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.