Dr Adeeba, Dr Siti Zuraina antara enam penerima Anugerah Merdeka 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 20 Ogos : Pakar kesihatan awam Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan pakar arkeologi Profesor Emeritus Datuk Dr Siti Zuraina Abdul Majid adalah antara enam penerima Anugerah Merdeka 2022 pada Jumaat.

Dr Adeeba menerima anugerah berprestij itu menerusi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas sumbangan dan komitmen beliau dalam menerajui mitigasi penyakit berjangkit serta membangunkan polisi dan tindak balas kepada HIV/AIDS di Malaysia.

Sementara itu Siti Zuraina diiktiraf dalam kategori Pencapaian Ilmiah Cemerlang untuk sumbangan dan peranannya dalam penemuan ‘Perak man’ selain usaha menjadi Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang merupakan Penaung Diraja dan Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka (MAT) berkenan menyampaikan anugerah itu kepada para penerima dari enam kategori dalam satu majlis di sebuah hotel di sini.

Turut berangkat ke majlis tersebut Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Anugerah tersebut turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Harapan Merdeka yang diberikan kepada Pengarah Program PEMIMPIN GSL Samuel Isaiah atas sumbangan dan komitmen beliau dalam menambah baik dan meningkatkan standard pendidikan dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli serta melatih para guru.

Penerima lain adalah Ketua Bahagian Asia Tenggara Perpustakaan British Datuk Dr Annabel Teh Gallop (Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia) serta dua organisasi tidak berasaskan keuntungan iaitu Teach For Malaysia (Pendidikan dan Komuniti) dan Global Environment Centre (GEC) (Alam Sekitar).

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah selain mengiktiraf individu dan pemimpin tersebut, MAT juga berhasrat untuk menyemai dalam kalangan belia Malaysia semangat perintis yang telah membantu memacu kemajuan negara.

“Ini khususnya penting dalam kita menuju masa depan di mana penyelidikan dan pembangunan saintifik yang inovatif dan kepandaian teknologi, dipupuk oleh generasi seterusnya, itulah yang akan memberi kita kelebihan kompetitif.

“MAT turut menyasarkan untuk menambah baik kerja-kerja yang mereka lakukan dan memperhebat impak yang dihasilkan dalam ruang sosial, ekonomi dan alam sekitar,” titah baginda.

Setiap penerima membawa pulang Trofi Anugerah Merdeka, sijil dan wang tunai, manakala penerima Anugerah Harapan Merdeka membawa pulang sijil dan wang tunai.

Anugerah Merdeka diwujudkan pada 27 Ogos 2007 sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-50, bertujuan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia dan individu bukan warganegara yang yang telah membuat sumbangan cemerlang kepada negara dan rakyat dalam bidang masing-masing. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.