Syarikat milik warga China kitar semula bateri secara haram diserbu JAS

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 19 Ogos : Sebuah kilang yang diusahakan sebuah syarikat milik warga China di Ara Kuda di sini diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam selepas didapati melakukan kegiatan kitar semula bateri secara haram.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menutup premis itu dengan mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, ia dibuat selepas premis berkenaan didapati menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapatkan lesen.

“Tindakan POK dibuat bagi menghentikan pencemaran serta-merta daripada aktiviti pemanasan dan pembakaran buangan terjadual itu yang boleh mengakibatkan pencemaran udara.

“Sebanyak 250 bekas yang mengandungi bateri lithium-kadmium terpakai telah disita dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bahan ‘sampah’ tersebut dibawa masuk ke negara ini melalui kargo udara.

“Penggunaan kargo udara ini dipercayai bagi mengelakkan pemeriksaan lebih ketat kontena melalui jalan laut.

“Berdasarkan siasatan awal, premis berkenaan dipercayai dimiliki oleh warga China,” ujarnya lagi.

Sharifah Zakiah berkata, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 18(1), Seksyen 34A(A) dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.