Studio FINAS di Sarawak siap, bantu perkasa industri kreatif tempatan

Spread the love

KUCHING, 19 Ogos : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yakin kemudahan studio penggambaran lengkap yang kini siap di Sarawak akan memacu pertumbuhan industri kreatif di negeri ini.

Pengarah FINAS Borneo, Mohammad Rizal Mohamed Yunus berkata, studio berkenaan yang terletak di Jalan Sultan Tengah itu kini sedia digunakan oleh pemain industri tempatan untuk menghasilkan karya masing – masing.

Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan kerajaan bagi membantu pemain industri di sini untuk menghasilkan karya dengan lebih baik.

“FINAS komited untuk terus memperkasa industri perfileman di Sarawak dengan menyediakan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur.

“Kemudahan yang ditawarkan oleh studio di Kuching ini setanding dengan yang terdapat di Ibu Pejabat FINAS di Kuala Lumpur dan sudah tentu kita berharap pemain industri mengambil peluang yang disediakan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Penggambaran Sitkom Belon Angkasa di FINAS Cawangan Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG), Rizal Zulkapli.

Sementara itu, beliau memberitahu, Belon Angkasa merupakan produksi pertama yang menggunakan fasiliti studio baharu FINAS Cawangan Sarawak untuk aktiviti perfileman.

Karya berkenaan juga merupakan sitkom pertama Malaysia yang menggunakan sebuah stesen angkasa sebagai latar belakang cerita.

Ianya diterbitkan oleh produksi Asa Esa Films dan akan disiarkan di saluran TVS 122 pada 16 September ini.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.