Pelanggan nyaris maut kedai makan terbakar

Spread the love

GUA MUSANG, 19 Ogos : Kira-kira 20 pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Kampung Kala Baru, di sini, nyaris maut apabila kedai itu terbakar pada Khamis.

Pemilik kedai, Asmah Muhammad, 37, berkata kebakaran pada 12.30 tengah hari itu berlaku apabila bahagian dapur kedai terbabit dihempap pokok setinggi 20 meter lalu mencetuskan kebakaran.

Asmah berkata sebelum kejadian, dia telah meminta bantuan daripada seorang penduduk kampung untuk menebang pokok berusia lebih 30 tahun itu.

“Api mula marak dari bahagian dapur dengan begitu cepat dan saya tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Asmah bersyukur kerana pelanggannya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiga motosikal yang diletakkan berhampiran kedai itu sempat dialihkan ke tempat selamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 12.39 tengah hari dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.20 tengah hari. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.