Kerani wanita di Sibu rugi RM35 ribu ditipu scammer

Spread the love

SIBU, 19 Ogos : Seorang kerani wanita berputih mata apabila wang simpanannya lebih RM35 000 lesap selepas terpedaya dengan skim pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang berusia 42 tahun tertarik terhadap satu iklan di laman web yang menawarkan perkhidmatan pinjaman pada 9 Ogos lalu.

Katanya, mangsa yang teruja dengan tawaran kadar faedah serendah 3.38 peratus setahun terus menghubungi nombor yang tertera untuk membuat pinjaman.

“Mangsa yang berminat untuk meminjam RM10,000 diberitahu bahawa dia perlu membayar RM449 sebulan untuk jumlah pinjaman itu.

“Mangsa juga dikehendaki membayar yuran pemprosesan untuk kelulusan segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tanpa curiga Zulkipli berkata, mangsa telah memindahkan RM35,028 menerusi 13 transaksi ke tujuh akaun berbeza.

Katanya, bertambah pelik, mangsa masih tidak menyedari dirinya diperdaya setelah membuat pembayaran melebihi jumlah yang ingin dipinjamnya.

“Kerani itu kemudian ingin membatalkan pinjaman namun dia diminta untuk membayar RM3,000 untuk proses berkenaan,”katanya.

Beliau memberitahu, mangsa yang menyedari dirinya terpedaya kemudian membuat laporan polis pada Rabu lepas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.