Bomba Sarawak tingkatkan rondaan sempadan kekang pembakaran terbuka

Spread the love

KUCHING, 19 Ogos : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meningkatkan rondaan dan langkah advokasi di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia bagi menghalang aktiviti pembakaran terbuka yang mengakibatkan jerebu, kata Pengarahnya Datuk Khirudin Drahman.

Beliau berkata ini berikutan laporan aktiviti kebakaran terbuka yang dibuat sebuah syarikat penerbangan, MASwings kepada jabatan itu semalam di Long Seridan, sebuah penempatan berdekatan sempadan yang terletak kira-kira 275 kilometer (km) ke timur bandar raya Miri.

“Setelah menerima laporan, kita hantar helikopter ke kawasan itu untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan keluasan kira-kira 0.4 hektar. Kita juga minta pihak yang mengeluarkan permit pembakaran terbuka menghentikan sementara kebenaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Kempen Keselamatan Kebakaran untuk Kanak-Kanak di sini hari ini.

Menurutnya rondaan jabatan itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sembilan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai titik panas untuk menghalang berlakunya pembakaran terbuka.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran kempen hari ini merupakan kerjasama pertama JBPM Sarawak dan Yayasan Farley untuk meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Khirudin berkata pembelajaran dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar akan digunakan bagi memudahkan komuniti Cina mempelajari aspek keselamatan kebakaran.

“Pihak bomba dengan kerjasama Majlis Pencegahan Kebakaran Malaysia akan terlibat dalam program ini dengan penglibatan ketua jurulatihnya Lim Kim Leng yang berpengetahuan luas.

“Pusat utama program itu diadakan ialah di Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang. Jadi, ibu bapa dan sekolah yang mahu menyertai program ini boleh hadir ke balai berkenaan pada bila-bila masa,” tambahnya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.