Sembilan motosikal musnah dijilat api

Spread the love

GEORGETOWN, 18 Ogos : Sembilan buah motosikal yang diletakkan di bawah Flat Jalan Kurau, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.15 pagi itu turut menyebabkan sebuah  kereta jenis Toyota Vios yang diparkir berhampiran tempat kejadian dijilat api dan mengalami kerosakan pada bahagin hadapan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.26 pagi sebelum lima jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Bomba mendapati sembilan buah motosikal telah hangus terbakar manakala sebuah kereta Toyota Vios terbakar di bahagian hadapan.

“Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu menambah, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memadam kebakaran dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.17 pagi.

Beliau berkata, tiada mangsa terlibat dalam kejadian berkenaan dan pihak bomba sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran dan nilai kerugian yang dialami mangsa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.