Rayuan Najib: Mahkamah tolak permohonan peguam untuk tarik diri

Spread the love

PUTRAJAYA, 18 Ogos : Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhirnya untuk membatalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan peguam utama bekas perdana menteri itu.

“Kami sebulat suara berpendapat bahawa keadaan fakta semasa, peguam telah gagal memberikan sebab yang mencukupi.

“Oleh itu permohonan untuk menarik diri ditolak dan peguam kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan,” katanya.

Baca artikel berkaitan > > > Mahkamah Persekutuan dengar rayuan akhir kes SRC Najib

Baca artikel berkaitan > > > Kes rayuan SRC Najib bertukar dramatik, peguam bela mohon tarik diri

Hakim Tengku Maimun: Kamu (Hisyam) mahu berhujah lagi? Bolehkah kamu mengesahkan jika tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan mengenai 94 alasan petisyen rayuannya (Najib)?

Hisyam: Tidak.

Hakim Tengku Maimun: Jadi kamu bergantung kepada hujahan daripada Mahkamah Rayuan berhubung dapatan Mahkamah Tinggi?

Hisyam: Tiada apa-apa yang hendak saya katakan.

Ketua Hakim Negara itu kemudiannya memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram supaya berhujah.

Terdahulu, Hisyam yang dilantik Najib sebagai peguam utama baharunya pada 27 Julai, menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu atas alasan memerlukan lebih banyak masa untuk rayuan kes tersebut.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohg Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.